[VIDEO]Peguam terkejut Datin dera amah tidak dihukum penjara

 

PETALING JAYA: Peguam terkejut selepas Mahkamah Sesyen menghukum sorang “Datin” yang mendera pembantu rumah dengan bon berkelakuan baik, mengatakan kesalahan itu ialah jenayah serius bawah Kanun Keseksaan.

Ramkarpal Singh berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman ke atas Rozita Mohamed Ali yang menyerang Suyanti Sutrinso.

“Undang-undang tidak lagi menyediakan bon berkelakuan baik dalam kes-kes melibatkan kesalahan serius, yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan sebagai kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama 10 tahun atau lebih.”

Beliau berkata Rozita dituduh bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kesalahan bawah seksyen itu dihukum dengan penjara sehingga 20 tahun, dan tergolong dalam takrif “kesalahan serius”.

Video Suyanti dalam keadaan cedera parah dan terbaring berdekatan longkang di satu kawasan perumahan di Mutiara Damansara tular pada Disember 2016.

Media kemudian melaporkan Rozita didakwa menggunakan sebilah pisau, sebatang mop, sekaki payung dan penyangkut baju untuk menyebabkan kecederaan pada kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Rozita pada awalnya didakwa dengan cubaan membunuh. Dia kemudian didakwa bawah Seksyen 326 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Suri rumah itu terikat selama 5 tahun dengan bon berkelakuan baik RM20,000 oleh Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah.

Ramkarpal berkata pindaan Kanun Tatacara Jenayah pada 2016 secara jelas tidak menyediakan pilihan mengikat seseorang yang disabit kesalahan dengan bon berkelakuan baik bawah Seksyen 173A dan 294 apabila seseorang itu didakwa dengan kesalahan serius.

“Pindaan tersebut juga secara jelas tidak mengambil kira keadaan sebelum ini dan oleh itu masih berkuatkuasa dan boleh digunakan semasa Rozita dihukum.

“Dalam keadaan itu, jelas hakim Mahkamah Sesyen bertindak di luar bidang kuasa dalam mengenakan hukuman tersebut terhadap Rozita kerana Seksyen 173A dan 294 tidak lagi membenarkannya berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi harus menyemak keputusan itu “segera demi keadilan” dan Mahkamah Tinggi boleh berbuat demikian walaupun tanpa permohonan mana-mana pihak.

Sementara itu, peguam hak asasi Eric Paulsen mempertikaikan keputusan mahkamah itu selepas mendengar 10 saksi termasukmangsa dan doktor yang merawatnya.

“Kami tidak nampak apakah keadaan yang boleh meringankan hukuman Rozita untuk kesalahan serius seperti itu, selepas dia telah menyebabkan kecederaan pada tangan, kepala, kaki dan organ dalaman.”

Beliau berkata kesalahan itu mesti diambil berat oleh penegak hukum kerana ia berkepentingan awam.

“Kesalahan sedemikian jika tidak dihukum akan menjadi satu pencabulan, terutama apabila dilihat dalam konteks pelbagai kes penderaan yang berlaku di Malaysia.”

Paulsen berkata jenayah terhadap pembantu rumah, termasuk kes Adelina Jerima Sau yang meninggal dunia kerana kecederaan selepas didakwa didera majikannya, harus “dipahatkan dalam ingatan kita sebagai tanda malu.”

Tetapi hukuman terhadap Rozita memberikan mesej yang salah kerana ia mencadangkan tidak mengapa untuk melayan pembantu rumah tanpa perikemanusiaan “jika kamu kaya atau rapat dengan orang ternama”.

“Kami menyeru peguam negara supaya merayu keputusan Mahkamah Sesyen, dan mendapatkan hukuman yang setimpal dengan jenayah kejam yang diakui Rozita,” kata Paulsen, yang mengetuai Lawyers for Liberty.

 

sumber: orangkampungkita