Giliran Rita Rudaini Dan Amyra Rosli Pula Komen Berkenaan Isu Neelofa. Mereka Sokong Atau Tidak?

TINDAKAN mengakui kesilapan dan memohon maaf oleh pengacara popular, Neelofa, 29, di atas kekhilafan dirinya dianggap langkah tepat oleh rakan selebriti tanah air.

Bagi pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 42, dan Amyra Rosli, 27, ia satu tindakan baik diambil pelakon jelita itu dan pihak pengurusannya.

Rita dihubungi berkata kalau orang sudah meminta maaf, terima sajalah kemaafan itu. Ia lebih bagus.

“Cuma, diharapkan semoga dia (Lofa) tidak ulangi lagi kesilapan yang sama itu pada masa akan datang.

“Tiada insan yang sempurna dan semua orang ada melakukan kesilapan, tetapi bila kemaafan yang dipinta, maafkanlah,” katanya.

Anak jati Perlis ini berkata apa yang berlaku adalah perkara sangat sensitif apabila membabitkan pemakaian tudung dan agama.

Amyra pula berkata dengan kemaafan ikhlas yang dipinta Neelofa itu diharapkan semua spekulasi yang timbul berakhir.

“Mengaku silap dan memohon maaf, bagi saya tindakan tepat dilakukan Neelofa. Jadi, dia wajar dimaafkan.

“Hendak dipanjangkan cerita pun, perkara sudah berlaku. Nak cakap lebih-lebih, hanya Neelofa yang tahu dan dia pasti ada alasan tersendiri,” katanya.

Pelakon drama Jodoh ini berkata dengan kemaafan dipinta itu, dia melihat isu yang timbul dan hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu sudah berakhir.

Terdahulu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor mencetuskan kontroversi apabila mengadakan pelancaran koleksi tudung terbaru Naelofar Hijab, Be Lofa di pusat hiburan baru-baru ini.

Ekoran insiden itu, Neelofa dikecam teruk oleh netizen di laman sosial dan dia juga menerima surat terbuka daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

SUMBER : HMETRO ONLINE

Artikel Seterusnya ..
Neelofa Akan Berhadapan Satu Lagi Dugaan Yang Amat Besar .. Ini Pasti Akan Menjejaskan Nama Dia Sendiri

Neelofa boleh didakwa??
KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon dan pengacara popular, Neelofa mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung beliau di sebuah pusat hiburan di ibu negara, Isnin lalu, boleh mendedahkannya kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977.
MENGHINA AGAMA ISLAM?
Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, berdasarkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilyah Persekutuan) 1977, mana-mana orang dengan apa cara sekalipun yang boleh menyebabkan agama Islam itu dipandang hina, adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SALKUKHAIRI Abd Sukor. – Foto NSTP

Dalam kenyataan yang dihantar menerusi emel, hari ini, beliau berkata, Neelofa juga berhadapan dengan tindakan mengikut Seksyen 35 Akta yang sama atas tuduhan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
PERSEPSI BURUK KEPADA MUSLIMAH
“Tindakan Neelofa itu bukan sahaja boleh memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung tetapi juga secara tidak langsung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

“Selepas ini pasti ada yang beranggapan wanita Muslimah boleh pergi dan menari di kelab malam, asalkan mereka memakai tudung. Ini persepsi yang silap dan perlu diperbetulkan kerana Islam mensyariatkan seseorang wanita itu perlu menutup aurat untuk menjaga maruah dan melindungi mereka daripada terjebak dengan perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak,” katanya.

Salkukhairi berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap selebriti itu atau sebaliknya.

“Undang-undang sudah ada. Cuma ia terserah kepada MAIWP sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atau tidak.

“Jika pihak berkuasa agama ingin mengekang perbuatan itu, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran dan mendidik masyarakat Islam supaya lebih sensitif, terutamanya bagi seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut seperti Neelofa,” katanya.

Salkukhairi juga menasihati masyarakat Islam supaya lebih peka dan menghormati kesucian Islam dan sentiasa merujuk kepada ulama dan pakar undang-undang sebelum melakukan sesuatu tindakan.
MAAF BUKAN PENUTUP CERITA
“Walaupun Neelofa dilaporkan sudah meminta maaf, tetapi tidak bererti beliau terlepas daripada tindakan undang-undang.”

“Sebab itu undang-undang ini perlu dikuatkuasakan demi menjaga maslahat ummah dan demi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri,” katanya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE