BENARKAH MH370 DITEMUI DI ‘GOOGLE EARTH’? – DIKATAKAN DALAM KEADAAN BERLUBANG DITEMBUSI PELURU?

 

 

PESAWAT penumpang MH370 yang hilang didakwa telah dikesan di Google Earth dalam keadaan berlubang ditembusi peluru, menurut satu teori luar biasa.

Penerbangan itu yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal hilang, dipercayai di Lautan Hindi, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Australia, China dan Malaysia menamatkan pencarian yang menelan kos £115 juta pada Januari 2017.

Awal tahun ini, Malaysia bersetuju untuk membayar sehingga £50 juta kepada syarikat dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity jika berjaya menjumpai pesawat itu sebelum Jun.

Seorang jurutera mekanikal Australia, Peter McMahon yang mendakwa telah bekerja dalam siasatan nahas selama lebih dari 25 tahun menegaskan dia telah menemui pesawat tersebut, lapor Daily Star yang mana laporan tersebut turut dipetik oleh portal-portal lain seperti mirror.co.uk dan thesundaily.

McMahon, 64, telah meneliti imej NASA dan Google Maps sejak pesawat itu hilang dan telah ‘ditunjukkan’ ke Round Island, utara Mauritius.

Dia percaya pesawat itu terletak 10 kilometer di selatan pulau itu, yang belum diterokai oleh penyiasat.

Dalam satu gambar yang diambil, terdapat garisan rangka kelihatan seperti sebuah pesawat di bawah permukaan air.

McMahon berkata dia telah menghantar penemuannya kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, yang mengesahkan ia berkemungkinan pesawat hilang tersebut.

Tetapi para pegawai Amerika dilaporkan mengarahkan mereka untuk terus melakukan carian di wilayah yang telah ditugaskan kepada mereka di Lautan Hindi.

McMahon memberitahu Daily Star Online bahawa empat orang Amerika telah dihantar ke Australia untuk melihat penemuan MH370 dan mendakwa mereka cuba menyembunyikan maklumat.

Selain bahagian utama, dia juga mendakwa telah menemui bahagian depan kabin di selatan Pulau Rodrigues, juga berhampiran Mauritius.

Ghyslain Wattrelos, yang kehilangan isterinya dan dua anak dalam tragedi tersebut, percaya pesawat itu ditembak jatuh.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/03/18/lelaki-australia-jumpa-mh370-google-earth/#2Po8yFJOWMgBdi76.99

(MAC 2015) MH370: Teori dan konspirasi yang mencabar logik

Turut tersebar adalah teori yang mengatakan Vladimir Putin mengarahkan rampasan pesawat MH370

Turut tersebar adalah teori yang mengatakan Vladimir Putin mengarahkan rampasan pesawat MH370

Dari penculikan makhluk asing hinggalah ke muslihat Presiden Rusia Vladimir Putin, pelbagai teori ditimbulkan golongan ‘penyiasat’ amatur dan juga penganalisis profesional dalam ruang maya bagi menjelaskan insiden kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370.

Semua itu terjadi apabila pasukan penyiasat rasmi meninggalkan ruang kosong khususnya dalam penetapan maklumat dalam pencarian mereka.

Kekecohan membentang teori konspirasi itu turut disertai bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa misteri MH370 mempunyai kaitan dengan ‘konspirasi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ada pihak yang menyembunyikan sesuatu’.

Sementara itu, Presiden Emirates Airlines, Tim Clark secara terang-terangan mengatakan bahawa Malaysia tidak telus dalam mendedahkan maklumat.

Setahun sudah berlalu dan ribuan warganegara dari seluruh dunia masih buntu dalam lingkaran tanda tanya yang menyelubungi pesawat malang yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal tersebut.

Berikut adalah antara bermacam-macam andaian teori konspirasi yang pernah diketengahkan dalam portal-portal berita antarabangsa sejak 8 Mac 2014:

Vladimir Putin mengarahkan rampasan pesawat MH370

Penulis sains dari Amerika Syarikat (AS) Jeff Wish ‘menjual’ teori yang berniat ‘nakal’ dengan mendakwa pesawat tersebut telah ‘dicuri’ di bawah arahan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Dia yang juga seorang pakar penerbangan dan bertindak sebagai penganalisis untuk CNN, menulis dalam blognya bahawa sekumpulan perampas Rusia dipercayai berada dalam pesawat berkenaan dan telah mengacau ganggu data penerbangan MH370.

Tindakan itu dilakukan untuk menghasilkan imej seolah-olah pesawat berkenaan melintasi laluan tertentu, sedangkan realitinya ia dilencongkan ke Baikonur Cosmodrome, iaitu sebuah fasiliti pelancar angkasa lepas berprofil tinggi yang digunakan Rusia atas izin kerajaan Kazakhstan sehingga tahun 2050.

Penculikan makhkuk asing?

Agak mudah untuk menuding jari kepada sesuatu yang tidak pasti seperti makhluk asing dan berdasarkan teori itu, makhluk asing lebih memahami misteri kehilangan pesawat MH370.

Ada sesetengah pihak mendakwa makhluk asing memainkan peranan penting dalam insiden besar ini kerana bosan dengan dunia barat sehingga terpaksa beralih ke Asia Tenggara untuk menandakan kewujudan mereka.

Setelah hampir ‘gila’ kerana tidak puas hati dengan maklumat yang diberikan oleh penyiasat rasmi, sesetengah individu yang kononnya ‘berpandangan jauh’ terus teguh dengan rumusan bahawa pesawat MH370 telah diculik makhkluk asing.

Malah, sebuah artikel dalam National Reportmenyatakan, ‘sejak tahun 1947 pemerintah kita  berbohong tentang makhluk asing dan kini semua orang melihatnya’.

“UFO (objek terbang yang tidak dikenal pasti) ada di mana-mana, di banyak negara. Mereka itu merupakan ancaman kepada kedaulatan negara dan juga dunia,” ujar laporan itu yang dengan pantas dikongsi di serata platform media sosial.

Konspirasi CIA dan seseorang menyembunyikan sesuatu – Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir juga mendakwa bahawa kehilangan pesawat MH370 merupakan konspirasi CIA. Beliau menyatakan, CIA mungkin tahu lokasi pesawat MH370 dan menyimpan maklumat itu untuk pihak mereka sendiri.

Kata Mahathir, jika sistem kedudukan global (GPS) pesawat berkenaan tidak berfungsi, maka pihak Boeing atau agensi kerajaan AS tentu boleh mengesan lokasinya berdasarkan kemampuan mereka.

Dalam salah satu kandungan blog yang dimuat naik, beliau turut menyatakan sekiranya pesawat MH370 dirampas, kawalan penuh terhadap sistem navigasi pesawat itu telah diaktifkan dari sebuah tempat yang tersembunyi.

“Jelas di sini, Boeing dan agensi-agensi lain mempunyai kapasiti untuk mengambil alih kawalan pesawat-pesawat komersial seperti MH370.

“Seseorang sedang menyembunyikan sesuatu. Adalah tidak adil jika MAS dan Malaysia perlu menanggung rasa bersalah,” ujar beliau.

‘Segi Tiga Bermuda’ versi Asia

Dalam media sosial, teori tentang kewujudan sebuah lagi kawasan yang mirip zon Segi Tiga Bermuda turut menjadi popular.

Kehilangan pesawat dari radar secara mengejut sepatutnya mempunyai beberapa penjelasan – sama ada berlaku letupan mendadak, masalah integrasi di udara atau kegagalan mekanikal.

Namun, beberapa pihak dengan mudah menganggap pesawat berkenaan sudah memasuki zon ‘segi tiga’ yang misteri.

Sebelum ini terdapat banyak bot dan kapal terbang telah hilang di atas sebuah hamparan laut di Lautan Atlantik Utara yang dikenali sebagai Segi Tiga Bermuda, termasuk Flight 19 pada tahun 1945. Dalam insiden itu, lima pesawat pengebom torpedo hilang secara misteri.

Namun, adakah wujud satu lagi kawasan seumpamanya?

Seorang pengguna Twitter berkata: “Maka, apakah yang berlaku pada pesawat malaysia ini? Adakah ada Segi Tiga Bermuda versi Asia?”

Seorang lagi pengguna Twitter membalas tuitnya: “Mungkin juga ada”.

Kebakaran dalam kokpit

Teori ini datang daripada juruterbang bernama Chris Goodfellow. Dia memberitahu bahawa kebakaran dalam ruang kokpit telah membuatkan juruterbang bertindak melencongkan pesawat ke barat menghala ke sebuah landasan kapal terbang terdekat di Pulau Langkawi.

Komunikasi yang terputus dengan kokpit, menurut Goodfellow, berkemungkinan ada kaitan dengan kebakaran elektrikal dan itu membuatkan juruterbang perlu memfokuskan kepada pengendalian pesawat berbanding membuat panggilan kecemasan.

Tambahnya, kedua-dua juruterbang berkemungkinan telah pengsan atau terkorban kerana lemas akibat asap sementara pesawat terus terbang selama beberapa jam sebelum kehabisan minyak dan kemudian terhempas.

Ia adalah teori yang baik, kecuali ketiadaan bukti kukuh untuk menyokongnya.

MH370 dan MH17 dikatakan pesawat yang sama

Salah satu teori yang paling pelik diketengahkan oleh ‘penyiasat tidak bertauliah’ adalah apabila mereka mengatakan bahawa pesawat yang ditembak jatuh di Ukraine adalah pesawat MH370, sekali gus menafikan ia adalah pesawat MH17 yang dalam jadual penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan teori itu, yang juga disiarkan di pelbagai laman web termasuk humansarefree.com, pesawat MH370 telah dirampas dan dipaksa mendarat di sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Mangsa pergolakan kuasa dunia

Ada pula pihak yang mengatakan ia telah dibawa ke pangkalan tentera AS di Diego Garcia dan seterusnya sengaja dijatuhkan di Donetsk oleh agen-agen AS beberapa bulan kemudian dalam operasi yang dicipta untuk menegnakan Rusia.

Kebetulan pula berlaku siri peristiwa dunia yang dimainkan oleh pihak yang mencetus teori, khususnya beberapa buah negara menuduh Rusia membekalkan sokongan ketenteraan kepada puak pemisah Ukraine – termasuk pelancar peluru berpandu Buk yang berkemampuan menembak jatuh peesawat di altitud tinggi.

Pada masa yang sama, Kesatuan Eropah dan AS telah mengetatkan sekatan ekonomi ke atas Moscow.

Sumber =http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mh370-teori-dan-konspirasi-yang-mencabar-logik-55230