“ Baki wang RM40,000 akan diagihkan sebagai hadiah buat isteri, ibu mertua, ibu sendiri, Khir Rahman dan rakan yang membantu buat persembahan setiap minggu.. “

 

“ Baki wang RM40,000 akan diagihkan sebagai hadiah buat isteri, ibu mertua, ibu sendiri, Khir Rahman dan rakan yang membantu buat persembahan setiap minggu. Tidak kisahlah berapa baki yang tinggal untuk saya sendiri kerana wang boleh dicari ” – Mark Adam

PENYANYI Mark Adam mempertahankan tindakannya mahu berkongsi separuh daripada hadiah kemenangan selaku juara Super Bintang Bersama Bintang 2018 bernilai RM100,000 dengan empat bintang lain seperti diumumkannya sebelum ini.

Mereka iaitu Achey, Issey, Shuk dan Ajak akan menerima RM15,000 setiap seorang.

Mark berkata, dia berpegang kepada janji yang dibuat dan tidak memperdulikan cakap-cakap mengatakan perbuatan itu merugikan dirinya sendiri selepas tujuh minggu bertungkus lumus bersaing dalam program terbitan TV3 ini.

“Itu duit saja dan ia boleh dicari. Saya lebih seronok kerana wang kemenangan diperolehi dapat dikongsikan dengan kawan-kawan-kawan lain yang turut bersaing.

“Kami sendiri pernah membincangkan perkara ini bersama dan ia bukanlah masalah besar untuk saya mengotakannya apabila dapat wang itu nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Pencuri ini berkata, bukan sahaja rakan-rakan peserta, dia juga akan mengagihkan baki wang di tangannya sebagai hadiah buat isteri, ibu mentua dan ibunya sendiri.

“Saya nak menghargai jasa mereka yang banyak menyokong saya selama ini. Ia juga akan diberikan kepada abang Khir Rahman yang membantu pada pentas akhir serta rakan-rakan yang membantu persembahan setiap minggu.

“Tidak kisahlah berapa baki yang tinggal untuk saya sendiri kerana wang boleh dicari. Yang penting saya nak buat semua orang gembira,” katanya.

Kenyataan Mark dibuat pada program akhir Super Bintang Bersama Bintang 2018 mendapat pujian ramai peminat namun dia tidak mahu masyarakat memujinya secara berlebihan.

“Hidup saya tetap sama dan tiada yang berubah. Saya juga akan mengotakan janji untuk buat kenduri doa selamat buat peminat dan ia akan diberitahu kemudian,” katanya.

Ditanya kemungkinan membawa ibunya ke Malaysia untuk hadir ke majlis kendurinya, Mark masih memikirkan perkara itu secara mendalam.

“Saya tidak pasti samada boleh melakukannya kerana emak takut naik kapal terbang dan penerbangan mengambil masa selama lima jam.

“Kampung kami pun terletak jauh di pendalaman. Mungkin saya perlu balik ke sana untuk memujuknya terlebih dahulu. Apapun keluarga di Filipina sangat gembira dengan kemenangan saya,” katanya.

Silakan SHARE..

Sumber : Harian Metro