Ahli Keluarga Terdekat Jadi Mangsa Tuduhan, Gambar Anak Siti Tersebar, Pengurus Beri Penjelasan!

KUALA LUMPUR – Pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak meluahkan rasa terkilan apabila gambar yang didakwa sebagai anak kepada Siti tular di laman sosial malam kelmarin.

Rozi, 44, yang juga kakak ipar Siti, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak amanah dan ia sedikit sebanyak memberi impak kurang baik terhadap kredibilitinya serta keluarga terdekat.

“Apabila gambar tersebut tersebar, saya dan ahli keluarga terdekat yang dituduh berbuat demikian.

“Sejujurnya, saya berasa terkilan kerana amanah dan kepercayaan yang diberikan Siti tidak dijaga dengan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Rozi memohon supaya khalayak agar mengikuti perkembangan terkini Siti daripada kenyataan rasmi yang  dikeluarkan olehnya atau Siti sahaja.

“Jika Siti berkata dia akan berkongsi nama anak dan gambar, insya-Allah pasti dia akan tunaikan. Jadi, kita hormati permintaannya,” ujar Rozi.

Terdahulu, tidak sampai 24 jam selepas kelahiran, kecoh di laman sosial apabila ada individu dengan sengaja berkongsi gambar anak milik Siti Nurhaliza yang lahir pada 19 Mac lalu di sebuah hospital di ibu kota.

Ia menimbulkan kecaman banyak orang memandangkan Siti meminta untuk diberi sedikit ruang dan privasi sebelum mengumumkan nama dan wajah anaknya yang diberi nama sementara Fatimah Az-Zahra itu kepada khalayak pada masa yang sesuai.

Fatimah Az-Zahra dilahirkan dengan berat 3.55 kilogram secara pembedahan pada 8.17 pagi Isnin lalu. – K! ONLINE
Artikel Berkaitan

Fatimah Az-Zahra nama sementara bayi Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR 19 Mac – Bayi perempuan yang dilahirkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada pagi 1 Rejab hari ini diberi nama sementara Fatimah Az-Zahra.

Menurut suami penghibur itu, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, nama anak Nabi Muhammad itu menjadi pilihan beliau dan Siti Nurhaliza sementara menunggu masa terbaik untuk mengumumkan nama sebenar permata hati mereka.

“Untuk tempoh seminggu ini sebelum nama sebenar diumumkan, kami sepakat memilih nama Fatimah Az-Zahra untuk bayi yang baru lahir ini.

“Insya-Allah kami akan umumkan seminggu dari sekarang. Sebetulnya pilihan nama sudah ada dan akan diumumkan pada satu majlis yang akan kami anjurkan kemudian,” kata Khalid.

Usahawan ternama itu mengumumkan perkara itu di pusat perubatan di mana Siti Nurhaliza melahirkan bayi sulung mereka.

Penghibur nombor satu negara itu selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 8.17 pagi tadi.

Bayi seberat 3.55 kilogram itu menamatkan penantian Siti Nurhaliza dan Khalid selepas 11 tahun bernikah.

Khalid yang tidak putus-putus melemparkan senyuman mengakui sangat sebak sebaik melihat bayinya.

Emosinya bertambah tersentuh apabila melihat isterinya yang begitu tabah dan kuat melalui proses kelahiran menerusi pembedahan.

“Terima kasih pada semua ahli keluarga dan peminat yang mendoakan kesejahteraan Siti dan bayi kami.

“Alhamdulillah Siti dan bayi sihat. Buat masa sekarang biarlah Siti berehat dahulu,” ujar Khalid lagi.

Sumber:utusan online