5 Artis Popular Pilih Wanita Lain Untuk Mengandungkan Anak Mereka,Walau Ada Yang Sudah Beristeri Ibu Tumpang Kepada Anak 5 Selebriti Terkenal Yang Anda Tidak Tahu

Kaedah ibu tumpang di kalangan artis terkenal
Artis yang mempunyai anak dari ibu tumpang bukanlah perkara aneh. Sebenarnya, ada banyak artis terkenal yang menggunakan kaedah “penyewaan” ini.

Ada pelbagai alasan kenapa mereka menggunakan khidmat ibu tumpang. Salah satu sebabnya adalah kerana artis tersebut tidak mahu berkahwin, namun mahu menjadi ibu bapa. Malah, ada juga artis yang terpaksa menggunakan kaedah ibu pengganti ini kerana kesulitan yang dihadapi oleh isteri masing-masing.

Ibu tumpang ialah wanita yang diupah untuk mengandung dengan memasukkan embrio hasil pencantuman sperma dan ovum.

Selepas wanita tersebut bersalin, dia perlu menyerahkan anak tersebut pada pasangan yang sebenar. Dalam Islam, perbuatan ini diharamkan, namun di sebahagian negara Barat, ia dilakukan untuk membantu mana-mana pasangan yang bermasalah. Jom tengok siapa deretan artis yang mempunyai anak dari ibu tumpang!

1. Shah Rukh Khan

Anak bongsu Shah Rukh Khan, Abram, lahir daripada ibu tumpang pada bulan Mei 2013. Gauri, isteri SRK telah melahirkan 2 anak mereka sebelum ini. Namun, beliau gagal untuk hamil anak ke-3 walaupun selepas 2 tahun mencuba. Jadi, mereka kemudiannya bercadang untuk mengambil anak angkat.

Entah kenapa, tiba-tiba, keputusan tersebut berubah. Mereka akhirnya memutuskan untuk guna khidmat ibu tumpang. Kehadiran Abram disambut dengan penuh sukacita oleh Gauri dan SRk. Abram mengisi kekosongan hati kedua-dua ibu bapa ini. Anak pertama dan kedua SRK, Aryan dan Suhana masing-masing sudah semakin besar dan duduk berjauhan dengan ibu bapa mereka. Malah, ada juga gossip yang mengatakan Gauri sengaja ingin ada anak ke-3 supaya Shah Rukh Khan berhenti curang dan meluangkan lebih masa di rumah! Ops!

2. Aamir Khan

Secara terang-terangan, Aamir Khan dan isterinya, Kiran Rao mengaku mereka mempunyai seorang anak hasil dari ibu tumpang. Anak itu bernama Azad dan dilahirkan pada bulan Disember 2011. Mereka terpaksa memilih kaedah ini kerana Kiran pernah keguguran dan mengalami komplikasi rahim. Ini membuatkan beliau sukar untuk mengandung dan bersalin lagi.

Aamir Khan mempunyai 2 orang anak dari pernikahannya sebelum ini. Namun, Azad merupakan anak emas sekarang sebab beliau dilahirkan hasil kesusahan dan penantian kedua ibu bapanya. Bahkan, pelakon 3 Idiots ini juga mendorong pasangan lain yang susah untuk mendapat anak agar mengikut jejaknya ini.

3. Salman Khan

Artis berusia 52 tahun ini sudah lama ingin menimang cahaya mata sendiri. Namun, beliau memegang erat prinsip untuk tidak mahu berkahwin. Walaupun sering bertukar pasangan, namun Salman masih enggan berkahwin. Lalu, didorong oleh permintaan kedua ibu bapanya yang mahukan cucu dari Salman, beliau akhirnya memutuskan untuk memiliki anak dari program surogasi. Salman telah meminjam rahim seorang ibu ganti untuk mengandung dan melahirkan anaknya.

4. Michael Jackson

Menurut Kumparan, mendiang Michael Jackson ini juga mempunyai anak dari ibu tumpangan. Walaupun pernah 2 kali berkahwin dan bercerai, itu tidak mematahkan semangat Michael untuk menjadi seorang bapa. Lalu, apabila bekas isteri keduanya, Debbie, mengalami komplikasi tidak boleh mengandung lagi, MJ terus menggunakan khidmat ibu tumpangan.

Anak ketiga MJ, Prince Michael Jackson II lahir pada tahun 2002 melalui ibu pengganti yang bernama Helena dan penderma sel telur yang tidak disebut namanya.

5. Christiano Ronaldo

Pemain bola kelas antarabangsa ini juga menempuh jalan surogasi untuk mempunyai anak sendiri. Christiano Ronaldo mempunyai anak kembar yang bernama Eva Maria dan Mateo. Anak ini lahir pada 8 Julai 2017 melalui kaedah ibu tumpangan.

Malah, laporan media juga menyebut, anak pertama Christiano turut lahir dari rahim ibu tumpangan! Namun, Ronaldo merahsiakan identiti wanita yang mengandung anaknya itu dan menutup asal usul sebenar anaknya. Walaupun anak-anaknya membesar tanpa ibu, tapi Ronaldo menganggap ia bukanlah masalah besar. Sebaliknya, kini Ronaldo telah berkahwin dengan kekasihnya, Georgina Rodriguez. Dengan perkahwinan itu, mereka dikurnia kan seorang lagi anak. Maka, cukuplah 4 anak Ronaldo dengan seorang ibu baru!

Walaupun kaedah ini diharamkan dalam Islam, namun usaha ibu -ibu tumpangan tersebut yang ingin merealisasikan impian pasangan yang bermasalah wajar kita iktiraf. Sungguh suci lagi murni usaha wanita-wanita ini! Semoga semua wanita hamil di luar sana sentiasa dilindungi oleh-Nya. Amin.

Artikel ini diterbitkan semula dari theAsianparent Indonesia

sumber :

https://www.my.theasianparent.com/ibu-tumpang-artis/amp

 

HUKUM IBU TUMPANG DAN BAYI TABUNG UJI

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Ibu tumpang ialah seorang wanita yang diupah untuk mengandung dengan memasukkan embrio hasil percantuman sperma dan ovum sepasang lelaki dan perempuan. Selepas dia bersalin dia akan menyerahkannya kepada pemilik ovum tersebut sebagai ibu hakiki. Di sebahagian negara Barat pendekatan ini yang disebut juga sebagai surrogate motherhood semakin diterima oleh masyarakat di sana.

Pasangan Bermasalah

Apakah hukum mengambil ibu tumpang bagi pasangan suami isteri yang didapati bermasalah kerana kerap mengalami keguguran?

Hukum pengambilan ibu tumpang dengan tujuan untuk mendapatkan anak adalah haram. Maka urusan penyewaan tersebut adalah batil dan tidak boleh diambil.

Begitu juga hukum menjadi ibu tumpang adalah haram. Ini ialah pendapat yang dikeluarkan olah badan fiqah Islam antarabangsa atas hujah ia akan terdedah kepada pencampuran nasab dan perbalahan antara pemilik ovum dan wanita yang diupah mengandung itu.

Madu Jadi Ibu Tumpang

Bagaimana jika ibu tumpang itu ialah madu? Boleh jadi seorang itu berkahwin dua namun salah seorang isterinya tidak boleh mengandung. Maka isterinya yang seorang lagi bersetuju untuk menjadi ibu tumpang.

Majma‘ Fiqh al-Islami pada persidangan pertamanya mengeluarkan keputusan bahawa harus hukumnya jika ibu tumpang itu madu kepada si perempuan sebagaimana dalam kes yang dibawa. Saya fikir mungkin asasnya dilihat dari sudut si ayah yang satu.

Cuma terdapat seorang alim yang tidak bersetuju pada ingatan saya tentang isu ini. Jadi pada persidangan kedua, perkara ini dibincangkan semula. Hasilnya pada persidangan tersebut, Majma‘ mengeluarkan keputusan mengharamkannya. Asasnya kerana ia termasuk dalam soal pencampuran nasab, perbalahan antara pemilik ovum dan pemilik rahim dan kadang-kadang membawa kepada penindasan orang kaya ke atas golongan miskin.

sm

Persenyawaan menggunakan teknik IVF

IVF

Bagaimana pula dengan teknik IVF atau biasa disebut sebagai bayi tabung uji?

Bayi tabung uji ialah bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita hasil daripada persenyawaan ovumnya dengan sperma suaminya di luar tubuh wanita itu.

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita pada zaman ini adalah penemuan kaedah IVF (In Vitro Fertilization). Kesannya banyak pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak secara biasa iaitu dengan hubungan kelamin boleh menggunakan rawatan ini. Maka dengan bantuan alat ini, pasangan yang inginkan anak boleh mendapatkannya. Jadi penggunaan IVF adalah harus dengan syarat air mani dan ovum itu adalah daripada pasangan itu sendiri bukan daripada orang lain.

Asasnya, Islam tidak menentang matlamat yang dibolehkan untuk mendapatkan anak. Bahkan kaedah ini boleh dianggap sebagai rawatan kepada penyakit mandul. Nabi sendiri bersabda: “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah kerana Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan ada ubatnya.” (Riwayat Abu Dawud)

Ikat Rahim

Sebut fasal kemandulan, apa pula hukum sengaja mengikat rahim atau peranakan supaya wanita tidak dapat mengandung lagi atau dengan pengambilan ubat?

Hukum sengaja memandulkan diri adalah haram mengikut pandangan majoriti ulama. Tindakan ini dikira sebagai perbuatan merubah ciptaan Allah. Tambahan pula ia bertentangan dengan kehendak syarak yang ingin melihat pertambahan zuriat bukannya pengurangan.

Pilih Jantina

Saya difahamkan bahawa ada satu kaedah yang membolehkan kita untuk menentukan jantina janin yang ingin dilahirkan. Apa hukumnya?

Pemilihan janin bermaksud penggunaan kaedah pemilihan jantina daripada ibu bapa dengan melakukan kaedah perubatan moden. Ia berlaku dek keinginan ibu bapa untuk memilih anak lelaki atau perempuan.

Mungkin sesebuah pasangan itu telah memiliki anak perempuan yang ramai dan tidak memiliki anak lelaki, maka pasangan itu menggunakan kaedah rawatan moden ini untuk mendapatkan anak lelaki. Namun semua yang berlaku hanya dengan izin Allah.

Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini:

Haram. Tindakan ini dikira sebagai mencampuri urusan Allah dan tidak menerima takdir.

Harus. Sebagaimana kita boleh berdoa kepada Allah untuk mendapat anak lelaki atau perempuan, maka kita boleh berusaha untuk itu.

Cuma keharusan ini hendaklah pada peringkat individu, bukannya secara makro atau campur tangan kerajaan. Boleh jadi sebuah negara itu ingin meramaikan lelaki, lalu rakyatnya diarahkan agar melahirkan anak lelaki dengan kaedah ini. Akhirnya ia akan membawa kepada pelupusan salah satu jantina. Ada satu kaedah usul berbunyi: Kadang-kadang sesuatu perkara dibolehkan kepada individu, tetapi tidak dibolehkan kepada masyarakat.

Wallahu a‘lam

USTAZ AHMAD FAUWAZ FADZIL

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

kredit : http://www.addeen.my/index.php/rohani/hukum/item/929-hukum-ibu-tumpang-dan-bayi-tabung-uji