ZUL ARIFIN REJECT FARAH NABILA?

 

 

Mengikut perancangan, drama Titian Cinta 2 (TC2) bakal disambung dan menjalani penggambaran sejurus drama itu selesai ditayangkan hujung tahun lalu.

Namun, disebabkan komitmen kerja dan jadual padat pelakon utamanya, Zul Ariffin, pasukan produksi tidak dapat menjayakannya.

Di sebaliknya, timbul pula cakap-cakap mengatakan Zul tidak mahu menjayakan drama itu kerana enggan berlakon dengan heroin drama berkenaan, Farah Nabilah.

 

“Siapa pula yang buat cerita ini. Sejujurnya, saya okey dan tidak ada sebarang masalah dengan Farah. Sepanjang tiga bulan berlakon bersama, segalanya berjalan lancar. Kami profesional ketika bekerja.

“Kalau betul wujud masalah antara kami, saya berasakan drama ini tidak selesai menjalani penggambaran. Boleh tanya pengarah macam mana kami di lokasi. Ingin diberitahu, sebab utama saya tidak boleh berlakon dalam drama TC2 adalah kerana masa dan komitmen kerja lain.

“Jadual saya sudah penuh sehingga November ini. Saya memang tidak boleh berjanji atau memberikan harapan untuk terbabit dalam projek ini. Malah, kalau ada perancangan mahu buat telefilem Titian Cinta Raya pun saya tidak boleh,” katanya.

Zul yang juga pelakon filem Tombiruo berkata, sepanjang tahun ini dia bakal terbabit dengan tiga filem dan dua projek drama bersiri.

Malah, semua projek itu sudah dipersetujui sebelum TC tamat penggambaran.

“Memang, pihak penerbit dan pengarah ada memaklumkan selepas tamat drama ini mereka ingin sambung musim kedua. Namun, selepas beberapa hari berehat saya terbabit pula dengan filem Hantu Kak Limah (HKL).

 

“Selepas HKL, saya dijadualkan terbabit dalam filem lain. Memang tidak ada waktu sesuai. Perkara ini saya sudah nyatakan kepada pihak produksi dan mereka sedia maklum. Saya bukan hanya main cakap saja tetapi memang ada komitmen lain.

“Namun begitu, projek ini ditunda pada tarikh lain. Pada masa sama, saya juga berdepan masalah lain pula apabila ibu meninggal dunia,” katanya.

Menurut Zul, dia perlu bersikap adil dan tidak mahu mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, apa dilakukan adalah cara kerja seorang profesional.

Tidak memilih heroin

Tindakan Zul itu juga sekali gus menafikan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia memilih pasangan pelakon wanita untuk digandingkan bersama.

“Saya tidak pernah memilih. Kalau kebetulan jadual okey dan jalan cerita menarik saya pasti terima. Sama ada dia pelakon baru atau lama, saya hanya buat yang terbaik.

“Selepas ini pun, kalau ada tawaran lain ingin menggandingkan saya dengan Farah atau mana-mana heroin sebelum ini, saya okey saja. Apa yang penting, jadual dan ada kelapangan ketika itu.

“Cuma sebagai pelakon, kalau boleh saya ingin variasikan penampilan di kaca TV. Saya faham dengan permintaan peminat. Pada masa sama, tidak salah jika memberi peluang kepada orang lain pula,” katanya.

Berbalik kepada kerjaya seninya, Zul berkata, tahun ini adalah rezeki bekerja selepas banyak berehat pada tahun lalu.

“Tahun ini tidak ada cuti pun saya okey saja. Tahun lalu, saya hanya terbabit dua drama dan satu filem. Jadi, tahun ini saya mahu fokus bekerja.

 

“Sebagai pelakon, saya perlu jaga momentum kerana sekarang banyak pelakon baru. Kalau leka, saya akan ketinggalan. Dari situ, secara perlahan-lahan orang lupakan kita. Jadi, saya tidak kisah untuk terus bekerja.

“Saya tidak mahu jadi seperti tahun sebelumnya. Jadi, setiap tawaran dan peluang diberikan saya rebut. Pun begitu, prinsip saya masih sama iaitu selektif dalam lakonan,” katanya.

Kredit : Hmetro