Misha Omar reda jalani kehidupan

Mentor – Selain Bintang RTM 2018, Misha juga akan muncul sebagai salah seorang mentor dalam program Mentor Otai bersama beberapa orang penyanyi terkenal tanah air tidak lama lagi.





Sejak penyanyi, Misha Omar disahkan hamil pada tahun 2016, dia perlahan-lahan dilihat mula memperlahankan rentak kerjayanya untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada Ogos tahun yang sama, ternyata pemilik nama Samihah Omar itu masih belum boleh terus kembali aktif sepenuhnya kerana anaknya, Muhammad Idris Ezzwa Firos Ezzwan lahir tidak cukup bulan.

Ketika ditemui pada sidang media Bintang RTM 2018 di VE Hotel,Bangsar South, Kuala Lumpur, Misha mengakui sepanjang tahun 2017 dia hanya muncul sesekali untuk majlis-majlis hiburan sebagai artis jemputan.

Namun begitu, wanita berusia 36 tahun itu memberitahu dia langsung tidak berasa ralat malah memilih untuk menurut sahaja arah takdir yang ditentukan oleh Allah.

“Saya memiliki sebuah kehidupan lain selain bergelar penyanyi. Justeru, saya perlu bersikap adil terutamanya apabila keadaan keluarga tidak terlalu mengizinkan saya untuk aktif bekerja.

“Bagaimanapun, saya menyedari ramai peminat yang tertanya-tanya mana Misha Omar dan asyik bertanyakan single baharu saya. Insya-Allah, 2018 ialah waktu sesuai untuk saya kembali aktif dalam radar industri hiburan,”katanya lagi.

Masalah kesihatan

Bercerita lanjut tentang kekangan masa dan situasi yang dialami oleh anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu, boleh dikatakan dia acap kali berulang-alik ke hospital sepanjang tahun 2017 kerana Idris sering jatuh sakit.

Ia berikutan keadaan paru-paru bayi berusia setahun lima bulan itu yang tidak begitu kuat kerana lahir di usia kandungan Misha lapan bulan.

Menyedari kepentingan kesihatan bayinya yang masih tidak stabil, Misha tidak berani meninggalkan si kecil itu bersama orang lain bagi tempoh setahun pertama.

“Saya memberi tumpuan sepenuhnya pada tahun lalu untuk membesarkan anak dan menghabiskan waktu setahun bersamanya sekerap mungkin tambahan pula Idris dalam keadaan yang tidak begitu sihat.

“Apabila melepasi fasa tersebut, saya lihat keadaan Idris sudah semakin baik dan barulah saya berani melepaskan dia untuk ke tadika (play school) sementara saya keluar bekerja,”tuturnya satu per satu.

Selain isu kesihatan Idris, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu turut mengakui selepas melahirkan anak, tahap fizikal badannya juga mengalami perubahan ketara terutama berkaitan peti suara.

Dia menjelaskan, sejurus menyertai Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) tahun lalu yang menyaksikan lagu duetnya bersama Hafiz Suip berjudul Terimaku Seadanyamemenangi tempat kedua, suaranya hilang secara tiba-tiba.

Simptom yang bermula dengan demam, selesema dan batuk kemudian hilang suara berlarutan hingga hampir enam bulan menjadikan ibu kepada tiga orang anak termasuk Muhammad Adam Emir dan Humaira Lateefa itu terpaksa merombak jadual seni sedia ada.

“Sepanjang suara saya sekejap ada sekejap hilang dan anak tidak sihat, perjalanan jadual kerjaya seni memang asyik berubah mengikut keadaan semasa. Ada masanya saya sudah okey, Idris pula jatuh sakit.

“Jujurnya, saya sentiasa yakin setiap rezeki akan datang tepat pada masanya. Saya tidak sedih kerana kurang bekerja malah memanfaatkan waktu di rumah sepenuhnya dengan keluarga,” luahnya tersenyum.

Menyentuh sedikit soal tugas baharunya yang digalas sebagai pengacara Bintang RTM 2018 yang memulakan siaran sejak minggu lalu, Misha berkata pada mulanya dia agak terkejut menerima tawaran berkenaan.

Debaran hos

Begitu pun, dia berasa sangat bangga kerana pihak RTM memberi amanah dan tanggungjawab yang besar kepada dirinya.

Bahkan, Misha menganggap kepulangan ke Bintang RTM seperti sirih pulang ke gagang.

Bakal bergandingan dengan Aqasha, dia juga memberitahu sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan daripada penonton terutamanya dari segi keserasian mereka berdua mengendalikan rancangan secara langsung.

“Saya rasa gandingan kami berdua saling melengkapi kerana saya seorang yang banyak cakap manakala Aqasha pula lebih tenang dan hanya akan bersuara apabila perlu.

“Insya-Allah, kami mempunyai 11 minggu untuk ditempuh. Saya akan cuba memperbaiki kemahiran pengacaraan setiap minggu yang bakal ditempuhi itu untuk menunjukkan peningkatan,” jelasnya lagi.

Saat ditanya adakah pengalaman sebagai peserta pada tahun 2001 dahulu menjadi kelebihan kepadanya sewaktu menjadi hos, Misha berkata itulah yang diharapkan memandangkan dia sudah tahu bagaimana rancangan ini berjalan.

“Saya juga berharap penonton di luar sana akan lebih berlembut sewaktu memberi komen kepada para peserta kerana mereka semua masih terlalu baharu. Beri mereka ruang untuk belajar dan tidak terlalu menghentam di media sosial kerana ia akan menjatuhkan semangat peserta,” katanya menutup perbualan.

Biarpun, keluarga menjadi keutamaan, Misha Omar sentiasa yakin dengan setiap aturan rezeki kurniaan Tuhan dalam pentas seni tanah air.

sumber: http://www.kosmo.com.my/hiburan/misha-omar-reda-jalani-kehidupan-1.601067