‘JANGAN KUTIP SABUN JATUH’ – ALIF SATAR BERI PERINGATAN KEPADA BAPA AINA NABIHAH!

Satu Malaysia geram dan marah dengan kematian Nur Aina Nabihah, 9 tahun yang dipercayai didera ayah kandungnya sendiri. Sebelum ini media melaporkan buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk antara punca kematian kanak-kanak perempuan itu.

Turut meluahkan rasa marah dan terkilan adalah penyanyi yang juga bapa muda kepada 2 anak, Alif Satar. Mana tidaknya, kanak-kanak seusia itu sepatutnya dibelai dengan penuh kasih sayang dan bukan diperlakukan sedemikian rupa.
Luah marah di IG story

Media sebelum ini mengaburkan muka tertuduh sebelum didedahkan pada Isnin lalu ketika keluar mahkamah untuk perbicaraan. Dengan sinis, Alif mengucapkan ‘selamat’ di dalam penjara untuk tertuduh.

Paling best, Alif turut menitipkan pesanan kepada lelaki berkenaan supaya tidak mengambil sabun jika terjatuh di dalam penjara.

Pesanan berkenaan biasanya dibuat kepada banduan yang menjatuhkan sabun di dalam bilik air penjara. Dia kemudiannya akan dipaksa menunduk untuk mengambil sabun dan akan diliwat oleh banduan lain. Banduan melibatkan jenayah kanak-kanak dikhabarkan paling dibenci dan akan menerima hukuman ‘tambahan’ di dalam sana.

Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 31 Januari lalu.

Pertuduhan itu dibuat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh terhadap tuduhan itu di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Nur Aina turut dipercayai diseksa seperti komando dengan dipaksa melakukan tekan tubi, sit up dan ketuk ketampi selain dipukul, ditendang dan dipijak oleh bapa kandungnya. Turut dirampas di rumah mereka adalah kerusi plastik dan tali pinggang yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Diseksa ala komando hanya kerana tak baca doa tidur, kesilapan mengaji dan tak dengar arahan suspek
Perkembangan terkini siasatan kes kematian kanak-kanak perempuan akibat didera bapa kandungnya mendapati, mangsa, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, diseksa ala komando, lapor Harian Metro.

Mangsa yang diperlakukan seolah-olah rekrut komando yang sebenar oleh suspek dipercayai dipaksa melakukan tekan tubi, berguling, ‘sit up’ dan ketuk ketampi sebagai denda.

Selain itu, mangsa juga dipukul, ditampar, disepak, dipijak kepala dan badan serta ditendang oleh suspek berusia 35 tahun yang juga anggota tentera di sebuah kem di Port Dickson.

Difahamkan, kesemua tindakan itu dilakukan oleh suspek dipercayai hanya kerana anak perempuannya tidak membaca doa tidur, kesilapan ketika mengaji al-Quran dan tidak mendengar arahannya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perbuatan kejam suspek terhadap mangsa.

Jumaat lalu, polis merampas kerusi dan tali pinggang tentera milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memukul Nur Aina sehingga meninggal dunia. Selain itu turut dirampas satu botol air yang didakwa suspek mengandungi air jampi untuk mengubati mangsa kerana degil dan tidak mendengar kata.

Siasatan awal mendedahkan, bangku dan tali pinggang adalah antara barangan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa sehingga meninggal dunia. Barang-barang berkenaan ditemui polis selepas kedua-dua suspek dibawa ke kediaman mereka untuk membantu siasatan.

Pasangan berkenaan yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari di bawa anggota polis masuk ke dalam rumah itu secara berasingan bagi menunjukkan lokasi dan barangan yang digunakan untuk mendera mangsa.

Berdasarkan pengakuan awal, suspek mendakwa telah memukul mangsa menggunakan tali pinggang pada malam kejadian.

“Suspek juga mengaku menendang dan memijak mangsa sehingga terkencing sebelum mangsa tidak sedarkan diri di dalam biliknya pada jam 11.30 malam. Suspek kemudian membawa mangsa ke HTJ Seremban dan disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

“Suspek turut membuat pengakuan pernah memukul mangsa menggunakan kayu plastik sebelum ini. Berikutan itu polis merampas bangku itu yang sudah patah,” kata Zainudin.

Seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga merupakan rakan mangsa mendedahkan Aina kerap mengadu dia didera oleh bapanya sebelum ini.

“Lama-lama nanti aku mati kena bunuh.” ayat yang pernah diluah oleh Aina kepada rakannya itu.

“Dia beritahu anak saya, dia selalu dipukul malah pernah dibaling dengan kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga memberitahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya.

sumber