BADANG DULU & SEKARANG….

BICARA FILEM : BADANG DULU & SEKARANG….

Filem Badang yang dibintangi oleh Wahid Satay dihasilkan pada tahun 1962 yang diarahkan oleh S. Roomai Noor. Manakala filem Badang yang dibintangi oleh Dato’ Aliff Syukri dihasilkan pada tahun 2018 diarahkan oleh Dato’ Prof Razak Mohaideen.

Sememangnya kedua-dua filem Badang ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Perbezaan yang bukan sahaja dari segi zamannya, malah latar belakang dan kuasa yang dimiliki oleh kedua-dua watak Badang ini sendiri.

BADANG tahun 1962

– Mendapat kuasa yang luar biasa setelah makan muntah hantu yang telah ditangkapnya. Hantu itu telah mencuri ikan tangkapan Badang. Untuk melepaskan diri dari cengkaman Badang, Hantu itu telah mengurniakan kegagahan luar biasa apabila Badang sanggup memakan muntahnya.

– Badang mempunyai kekuatan yang menyamai sekawan gajah. Mampu mengangkat sebuah kapal yang besar, menjatuhkan pokok hanya menolak dengan sebelah tangan dan mengalahkan pendekar yang handal dengan mudah.

– Badang tidak boleh berkahwin. Jika dia melanggar pantang larang itu, dia akan mati dalam keadaan yang dahsyat.

BADANG tahun 2018

– Dikurniakan kuasa luar biasa kerana dia adalah anak buluh betong. Dilahirkan didalam buluh yang mempunyai kaitan dengan alam bunian yang luar biasa. Dia sememangnya ditakdirkan sebagai manusia luar biasa yang terpilih. Nama sebenarnya Badrul, dia memilih nama Badang kerana dekat dengan namanya dan sesuai dengan lagenda itu.

– Akan mendapat kuasa yang luar biasa setelah memegang buluh. Dia akan mendapat kuasa yang luar biasa ketika memegang semua jenis buluh. Apa saja yang terlintas difikirannya, maka kuasa itulah yang akan diperolehinya. Badang mempunyai kekuatan yang hebat, halimunan dan telapati. Teman wanitanya telah mencipta suit khas yang diperbuat daripada buluh.

– Kuasa luar biasa Badang akan hilang apabila badannya terkena air. Setiap kali terkena air, dia hanyalah manusia biasa sepertimana orang lain.

Oleh kerana perbezaan yang sangat ketara inilah menyebabkan penonton, malah masyarakat terutamanya orang Melayu tidak dapat menerima Adiwira Badang yang terbaru. Sebahagian besar dari kalangan orang Melayu tidak dapat menerima Adiwira Badang yang dianggap janggal dengan lagenda Badang yang sebenar.

Manakala Badang pada tahun 1962 kini kembali menjadi sebutan ramai dikalangan peminat filem dan masyarakat Malaysia. Secara tidak langsung, nama Wahid Satay kembali menjadi sebutan. Malah ramai yang membandingkan antara dua watak dan filem ini. Sebahagian besar dari kalangan mereka mendakwa bahawa Badang pada tahun 1962 lebih hebat daripada Badang 2018, walaupun sudah lebih 50 tahun ia dihasilkan.

 

#KakiWayangBukanAnakWayang

kredit:Syakireen Akhlakkeen
Usahawan Kembara Yang Menulis